Tuesday, August 31, 2010

merdeka

Hari ini Malaysia yang kucintai menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53. Berbanggalah menjadi rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman dan damai.


Gambar bendera ni aku ambil dari cik Google.

Aku berharap agar seluruh rakyat Malaysia termasuklah aku dapat memerdekakan diri dari sebarang bentuk penjajahan, seiring dengan kemerdekaan negara yang makin bertambah usianya.

footnote: Salam Kemerdekaan buat semua!!

Thursday, August 26, 2010

kecewa

Hari ini sudah melepasi 16 Ramadhan dan tinggal lagi 14 hari tirai Ramadhan bagi tahun ini akan berakhir. Rasanya baru lagi kita semua mula berpuasa, dah nak habis pun.

Aku mengharapkan agar di bulan Ramadhan ini aku mendapat peluang baru bagi memulakan hidup baru, namun semuanya hampa. Aku ada memohon kerja di Australia, dan hari ini aku menerima e-mail jawapan daripada mereka. Hampa hatiku, hancur perasaanku pabila aku membaca jawapan tersebut. Tapi agak terubat jua perasaan bila statusku kini berada di dalam kiv list.

Malaysia memanglah negara tumpah darahku, negara yang kucintai sepenuh hati dan di sinilah tempat tinggal orang2 yang aku sayangi. Namun ada sesuatu yang menyebabkan aku ingin pergi dari sini. Ada sesuatu yang benar2 melukakan hati dan perasaan. Ada sesuatu yang benar2 mengecewakan aku. Ada sesuatu yang tidak mampu untuk aku hadapi di sini. Semakin lama aku semakin parah dan terluka. Aku semakin lemah untuk menghadapinya. Jalan terbaik adalah pergi dari sini.

Aku berdoa agar segala impian aku akan terlaksana. Supaya aku tidak lagi bersedih hati, kecewa dan terluka. Mudah2an apabila jauh di mata, semuanya juga akan jauh di hati. Tidak perlu lagi untuk aku melewati jalan kenangan.

Pergi jauh bukan untuk melarikan diri, tetapi lebih untuk mengubati hati dan mencari diri sendiri. Mengapa Australia? Kerana aku sukakan tempatnya, jaraknya dari Malaysia yang tidaklah sejauh mana. Asalnya aku lebih ingin ke New Zealand, tetapi amat sukar untuk ke sana. Laluan yang terbaik adalah melalui Australia. Aku berangan untuk membeli tanah ladang di New Zealand dan tinggal di sana. Aku akan kembali ke Malaysia bila hati aku benar2 sudah sembuh dan aku telah berjaya menghilangkan segala parut. Mampukan aku?!

Aku tidak akan berputus asa untuk terus mencari peluang di sana. Aku akan sentiasa berusaha untuk merealisasikan impian dan anganku. Besar dan tingginya harapan dijiwaku tidak dapat digambarkan dengan kata2.

footnote: melarikan diri bukanlah jalan yang terbaik, namun dalam satu2 situasi itulah langkah yang paling tepat. Supaya banyak hati dapat dijaga, banyak hati yang bergembira. Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan hanya sekeping hati yang terluka.

Sunday, August 22, 2010

akhirnya

Setelah berbulan lamanya aku hanya sekadar menganyam mimpi indah untuk membersihkan dapur, ruang yang agak jarang aku habiskan masa sebenarnya asyik tertangguh, hari ini aku berjaya melaksanakannya. Dan hasilnya, ruang dapur aku dah cantik berkilat!

Seharian aku menghabiskan masa untuk mengemas rumah dan dapur setelah bangkit lebih kurang jam 10.30 pagi. Sahur dan Solat Subuh aku hangus! Mesti syaitan bersorak riang di atas kealpaan aku. Dan pagi ini aku tidak berkebun, sekadar mengemas, menyapu dan mengemop rumah. Kemudiaannya beralih ke dapur. Sudahnya apabila jam menghampiri 5.30 petang barulah semuanya selesai.

Bila dapur dah cantik, nak masak pun jadi malas, sayang takut dapur kembali bersepah. Sudahnya aku keluar mencari juadah berbuka puasa. Senang dan cepat!

Kalau ikutkan rasa penat, memang nak terus tidur aja. Tapi baju yang belum dilipat penuh sebakul, baju yang belum bergosok pun boleh tahan banyaknya. Lagi pulak buku2 yang belum ditelaah masih tinggi menunggu giliran untuk dibuka. Aduhaii... banyaknya dugaan hidup ini.

footnote: seminggu dua ni eyelid aku selalu twitching. Kalau mengikut kata orang2 tua, ada benda buruk nak berlaku. Penat menunggu, aku search internet mencari punca sebenar eyelid twitching. Rupa2nya stress, lack of sleep, tired, caffeine adalah antara penyebab eyelid twitching.

Thursday, August 19, 2010

dugaan apakah ini

Balik kerja petang tadi serasa mahu gugur jantung aku. Mana tidaknya, sewaktu aku menonong ke dapur dan meletakkan hasil belian ke dalam sinki mataku terpandang sesuatu yang luar biasa. Tingkap nako hampir tercabut dan pintu tidak berkunci! Seseorang telah mencuba untuk menceroboh ke dalam rumahku!

Aku tidak pasti bilakah kejadian ini berlaku. Yang pasti pagi tadi aku terjaga bila waktu imsak sudah hampir ke penghujungnya. Sebelum ke tempat kerja pagi tadi pun aku tidak menjengah ke dapur. Barangkali kejadian ini mungkin berlaku sama ada malam tadi atau sewaktu aku keluar bekerja pada siangnya.

Aku bersyukur jua kerana tiada barang yang hilang, namun rasa takut, cuak, risau dan pelbagai rasa bercampur aduk di samping jantung aku mengepam darah lebih laju dari biasa. Sehingga di saat aku menulis ini pun, jantungku masih berdenyut dengan laju. Aduyai... sudah lah aku tinggal sendirian. Aku ingatkan di bulan Ramadhan yang mulia ini, tiadalah syaitan yang bertopengkan manusia. Rupa2nya aku silap, makhluk itu tetap ada.

Sudahnya aku keluar pergi beli pad lock dan bila balik ke rumah aku menjalankan operasi. Aku pasang pad lock, betulkan tingkap semampu mungkin, meletakkan rak pinggan di depan pintu dan akhir sekali aku pakukan kayu menyilang pintu. Harap2 esok Wak dapat datang dan tukarkan tombol pintu ke sebelah sana. Mudah2an Allah memberi keselamatan ke atasku, kediamanku, kenderaanku dan juga segalanya. Juga buat semua jiran2 ku.

footnote: aku nak study pun tak tenang. Ya Allah, berikanlah aku ketenangan. Terkadang aku terfikir untuk berpindah, namun aku malas untuk mengemas, serta menguruskan segala macam perkara berkaitan dengan pertukaran alamat. Kalau pindah, aku nak berpindah ke mana?! If the situation getting worse I should consider to move out.

Friday, August 13, 2010

ia datang lagi....

Ia datang lagi semenjak beberapa bulan kebelakangan ini. Jika sebelum ini ia telah berhenti daripada mengunjungi aku hampir lima tahun, nampaknya ia masih merindui aku. Sejak akhir2 ini ia semakin rajin bertandang dan aku benar2 terseksa dengan perasaan ini.

Lima tahun yang lalu sewaktu menjalani pembedahan membuang apendiks, aku turut diberitahu oleh doktor bahawa mereka akan memeriksa kedudukan ovari aku apabila aku turut memberitahu perihal kesakitan melampau sewaktu kedatangannya. Dan yang pastinya selepas pembedahan itu, aku sudah tidak didatangi olehnya lagi. Aku sudah boleh menarik nafas lega kerana aku sudah mampu melakukan aktiviti harian tanpa ada rasa yang menyekat.

Dan pada hari ini, di hari ketiga aku berpuasa di bulan Ramadhan ini, ia mendatangi aku lagi. Sakitnya yang amat, apa yang boleh aku katakan aku hanya ingin berbaring dan tidur. Jika tidak aku tidak akan mampu menanggung keperitan ini. Jikalau dulu aku selalu mengambil pil penahan sakit, namun tidak akhir2 ini. Aku tidak mahu terus bergantung kepada pil untuk mengurangkan kesakitan.

Semenjak aku mula didatanginya sewaktu berusia 12 tahun sehingga ke hari ini, bermacam rasa sakit telah aku lalui. Kadang2 aku hampir pitam dan pernah pitam. Seksanya hanya Allah sahaja yang tahu. Siapa yang pernah melalui kemelut ini pasti memahami derita sementara ini.

Dalam ketidakselesaan ini, aku tetap bersyukur kerana pernah mengecap nikmat tidak didatanginya selama hampir lima tahun. Dan sepanjang tempoh itu aku benar2 berharap agar aku tidak lagi menemuinya. Namun harapan aku hanya tinggal harapan.

Setiap kali aku berkunjung ke klinik, jawapan para doktor adalah sama. Soalan yang ditanyakan pada aku juga sama.
'...tiada apa yang perlu dirisaukan...'
'....sakit cik akan hilang bila...'
'.....cik tak ada masalah lain, semuanya okay...'
Aku pun tidak pasti, sampai bilakah aku harus menanggung rasa seksa ini. Semua yang ingin aku lakukan rasa tersekat, rasa terbatas. Yang pasti aku tidak akan segan silu menangis hiba bila ia menyerang dengan penuh kejam.

footnote: jika dulu Bonda selalu memberikan aku beg air panas bila ia datang. Tapi tidak lagi sekarang, tiada siapa yang akan menyiapkan aku dengan beg air panas lagi. Aku harus melakukannya sendirian.

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan

Penyimpan Mohor Besar Raja2 Melayu sebentar tadi telah membuat pengisytiharan berkenaan dengan 1 Ramadhan yang akan disambut esok oleh semua Muslim di Malaysia dan pastinya beberapa negara lain di nusantara ini.

Rasanya baru lagi aku menghabiskan Ramadhan yang lalu, dan tahun ini Ramadhan muncul lagi. Ramadhan bagi aku tahun ini tetap akan disambut walaupun cerianya berkurangan. Ramadhan kali ini aku akan sambut berseorangan; bersahur, berpuasa dan berbuka keseorangan. Jikalau pada tahun lepas dan tahun2 sebelumnya aku ditemani rakan serumah, tapi tidak pada kali ini.

Untuk ditemani ahli keluarga yang lain, amatlah sukar rasanya. Walaupun Along tinggal di daerah yang berdekatan namun aku rasa tidak selesa untuk meraikan bersama keluarganya. Mungkin kerana hubungan kami yang tidak serapat dahulu.

Buat semua yang sudi membaca blog aku, Selamat Menyambut Ramadhan dan semoga kita semua beroleh keberkatan di bulan yang mulia ini. Aku juga ingin memohon kemaafan dari semua sekiranya ada antara tulisan aku yang menyentuh perasaan kalian yang membuatkan kalian rasa terluka. Sesungguhnya apa yang aku garapkan di sini adalah sekadar secebis kisah dari catatan perjalanan hidup aku yang singkat ini.

footnote: aku dapat rasakan bahawa akhir2 ini aku sudah kehilangan rasa dari jiwa. Rasa sayang, kasih, rindu, cinta dan benci seolah2 semakin menjauh. Hati aku seakan kosong tanpa sebarang rasa. Entah di mana silapnya, yang pasti aku belum ketemu sebarang jawapan.

Sunday, August 8, 2010

bermalasan di hujung minggu

Kalau diikutkan perancangan awal, Bonda akan datang ke rumahku hujung minggu ini, sebelum bermulanya Ramadhan. Namun di saat akhir Bonda membatalkan kunjungan. Tidak mengapalah walaupun ada juga rasa ralat di hati. Jadinya, hujung minggu ini adalah masa untuk aku bermalasan di rumah.

Selama dua hari ini cuaca mendung sekali dan aku pastinya enak bermalasan sehingga tengah hari. Kononnya nak membuang segala lalang dan rumput yang banyak di halaman rumah, namun tidak kesampaian nampaknya. Mana nak habis kalau aku hanya luangkan sedikit waktu di sebelah petang dan langsung tidak menjenguk di sebelah pagi.

Aku pun tidak pasti bilakah halaman rumahku akan kembali kemas, tanpa sebarang semak samun. Bila kerajinan aku datang, masa itulah aku tak sempat nak berkebun. Bila banyak masa terluang yang aku ada, waktu itulah kemalasan tahap melampau datang.

Time's up! Kejap lagi aku nak berkebun. Harap2 bersih lah beberapa kaki persegi untuk petang ini dari segala rumput dan lalang durjana. Chaiyok..! Chaiyok..!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...